Abul Harith – Synergy of Mind, Wisdom & Effort…

Ku harungi Ramadhan

Posted by: Abul Harith on: September 4, 2009

Ku harungi Ramadhan (sempena berlalunya 15 hari Ramadhan 1429H)

Ku harungi Ramadhan,

Mengira-ngira,
Lumrah diri yang alpa
Legasi jiwa yang papa
Ligat nafsu yang menerpa
Calit dosa yang disapa

Ku harungi Ramadhan,

Mencari-cari,
Lestari rindu yang mulus
Manis amal yang lulus
Panjatan doa yang tulus
Munajat menuju Yang Kudus

Ku harungi Ramadhan,

Mengenang-ngenang,
Sejarah juang yang gilang
Nekad suci yang terhalang
Hanyutan teman yang hilang
Cerita Ummah yang malang

Ku harungi Ramadhan,

Merindu-rindu,
Pelukan dingin yang bayu
Titisan mata yang sayu
Ampunan noda yang dirayu
Malam Baroqah yang dirgahayu

Ku harungi Ramadhan,

Mengharap-harap,
Dihindar mehnah yang makar
Pautan ubudiyah yang berakar
Dijauh neraka yang Saqar
Kasih RABB-ku yang mekar

Abul Harith, 08:09:16:16:11, 16 Ramadhan 1429H, Putrajaya
http://abulharith.wordpress.com/

Tags:

1 Harmoni Malaysia

Posted by: Abul Harith on: May 27, 2009

INVITEA5FRONT

Suatu pagi, saya bersama seorang sahabat keluar untuk sarapan di sekitar Putrajaya. Tujuan kami sudah pasti restaoren Mamak kerana tidak terdapat restoren lain yang beroperasi rancak seperti mereka pada awal pagi. Sampai di satu lot kedai yang menempatkan restoren itu, kami gagal mencari parking kerana semuanya penuh. Lihat dalam restoren, majoriti kakitangan awam Melayu sedang menikmati sarapan mereka.

Selepas dua kali pusing namun tidak berhasil mendapat parking. Kami buat keputusan ke tempat lain yang lebih jauh, restoren Mamak juga.  Saya tiba-tiba teringat sesuatu lantas berkata;

“Eh, sebelah rumah kita kan ada kedai Melayu satu tu”

“Tapi aku rasa nak makan telur separuh masak la, cari Mamak la” jawab sahabat saya.

“Kedai Melayu  tu pun ada ada telur rebus” pintas saya.

Dalam dengar tak dengar jawapan saya, sahabat saya terus memandu sehingga tiba di satu restoren Mamak. Sampai sahaja, dia terus memesan 2 tosai, saya memesan 2 roti canai. Nampak pelanggan India di sebelah pula memesan sesuatu dalam bahasa Tamil. Mamak tu turut hidangkan nasi lemak kepada pelanggan lain.

Selepas mendapat pesanan, kami makan. Tiba-tiba sahabat saya bersuara,

“Tosai ni macam besar sangat pula nak makan 2 keping. Kalaulah aku pesan capati tadi.”

Saya tidak respon, termenung sejenak lalu menjawab kepada sahabat saya, “Perasan tak satu benda yang unik pada kita yang hidup kat Malaysia ni?”

“Apa dia?” soal sahabat saya.

“Kita Melayu, tapi sarapan kita makan masakan India. Engkau makan tosai, nak capati pula tu. Aku pula makan roti canai.”

Sahabat saya membalas tanda setuju, “Tengok, orang Cina & India pun makan nasi lemak yang orang Melayu punya.”cp1oa1

Saya membalas, “Bayangkan kalau kita ni orang Arab, British, Jepun atau Afrika. Orang putih tak reti makan pedas. Orang Arab tak biasa makan masakan Melayu atau Cina. Kat Malaysia ni, kita unik sebab boleh rasa macam-macam masakan”

Sahabat saya mendengar saja. Saya menyambung “Semalam, orang Cina yang duduk sebelah kita tu makan Nasi Beriani Gam. Kalau ingat, ramai yang beli nasi lemak kat gerai sebelah rumah tu ramai orang Cina walaupun Melayu yang jual. Bila fikir balik semua hal ni, nampak macam kita kat Malaysia sangat unik. Banyak bangsa, bermacam budaya, tapi kita boleh terima satu sama lain. Betul-betul nampak harmoni.”

Unik & Harmoni

Harmoni? Ya, bila kita ketepikan sejenak segala hiruk pikuk yang ditimbulkan di media massa tentang pelbagai isu yang menyerabutkan kepala. Kadang-kadang, segala polemik sengaja ditimbulkan, gagal diselesaikan dan berpanjangan kerana kepentingan survival politik kelompok tertentu. Ia hanyalah soal aristocrat yang hanya ingin menjaga legasi dan periuk nasinya.

Sedangkan kita yang marhaen semasa pra-merdeka dan lebih 50 tahun pasca-merdeka hanya fikirkan agar kehidupan harian sendiri dan keluarga aman harmoni tanpa sebarang kacau ganggu. Agar kita juga dapat keluar kerja dan bebas kemana-mana berbelanja dengan hasil yang diperolehi untuk kebahagiaan diri dan orang tersayang.

Sampai satu tahap, kita menjadi muak dengan sandiwara bangsawan yang disajikan sejak lebih setahun lampau. Hatta ramai yang akhirnya berfikir, siapa kisah kalau Najib atau Anwar yang jadi PM? Siapa juga kisah sama ada Nizar atau Zambry yang jadi MB Perak? Kita rakyat marhaen hanya berharap, sesiapapun di tampuk kuasa, biarlah kebajikan kita terjaga. Itu tanggungjawab kerajaan. Kita juga sedar bahawa sejarah membuktikan tiada orang atau parti yang boleh kekal selamanya di tampuk kuasa.

Rakyat Malaysia berbilang bangsa. Ini sangat unik. Namun dalam segala kepelbagaian dan ragam hidup masing-masing, kita pasti bahawa setiap warganegara Malaysia sama ada Melayu, Cina, India atau lain-lain hanya mahu hidup mereka aman harmoni. Cukup makan, senang kerja, hidup selamat dan hati riang. Kita telah membuat keputusan setiap kali pilihanraya untuk kebaikan masing-masing. Tapi mengapa, rumah telah siap, pahat masih berbunyi? Mengapa harus masalah kepentingan peribadi mahupun parti dilibatkan ke atas bahu seluruh warganegara yang telah menjalankan tanggungjawab mereka melalui perlembagaan setiap 5 tahun?

Jadi kita yang di’bawah’ ini, usahlah terikut rentak tari mereka yang di’atas’ sana. Jika kita terjerumus sama, maka kita akan lebih mengeruhkan suasana harmoni yang ada sejak sekian lama. Kita juga merayu agar segala kekeruhan yang berlaku dijernihkan demi kepentingan rakyat secara menyeluruh seperti mana ikrar mereka sama ada ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ mahupun ‘keadilan atau ketuanan rakyat’.

ethnicrelationssmall1 Malaysia

Justeru, mari kita lihat dari sudut yang lebih jernih dan harmoni dalam kepelbagaian kaum di Malaysia. Abaikan sementara kekalutan kelompok di atas. Kita selami hati budi setiap warga negara ini. Berbeza cara suatu yang harmoni. Ia cuma berbeza, tidak semestinya berlawanan dan bercanggah. Apatah lagi perbezaan itu menimbulkan aneka variasi yang mewarnai negara ini.

Jadi, ramuannya adalah kepelbagaian, namun bagaimanakah cara mengadunnya? Ia tidak lain hanyalah sifat terbuka, toleransi dan memahami antara satu sama lain. Maka ia akan membawa kepada adaptasi, integrasi dan asimilasi antara kaum, tapi ia tidaklah sampai menggadaikan prinsip asas yang dipegang individu terbabit sama-ada dari segi budaya, bahasa atau agama.

Sebagai contoh, andai orang India melawat rumah Melayu, jadi amatlah bodoh jika orang Melayu tersebut menyajikan gulai daging. Tapi si India tadi masih menikmati laksa Penang, nasi Kerabu, sate ayam mahupun mee Jawa. Andai orang Melayu melawat rumah Cina, maka orang Cina terbabit sudah pasti tak akan menyediakan ‘minuman & masakan tertentu’. Tapi orang Melayu tersebut masih menikmati teh Cina, yong taufu dan stimbot.

Orang India yang makan nasi lemak, tidak akan hilang Indianya walaupun bercakap Melayu. Orang Cina yang makan nasi beriani, tetap mampu bercakap Mandarin bersama kawan-kawan di mejanya. Orang Melayu yang melihat cerita drama Hongkong atau filem Bollywood lebih ramai dari orang Cina dan India sendiri, walaupun orang Melayu itu bertudung litup atau berbaju Melayu ke masjid. Ada yang hidup berjiran, belajar dan kerja bersama, keluar makan bersama dan melawak bergelak bersama walaupun berbeza nama, agama & budaya. Dan pelbagai lagi contoh yang mampu disampaikan.

Inilah yang dikatakan Malaysia kita yang unik & harmoni. Hanya kita yang mengalaminya dan dapat menerimanya. Kita sukar melihatnya di dunia Arab, Afrika, Jepun mahupun di US. Keharmonian dalam kepelbagaian ini suatu aset yang menjadi kebanggaan. Resipinya adalah muafakat, hormat-menghormati dan memahami antara satu sama lain.

Maka, jika ada yang bercakap tentang gagasan 1 Malaysia, ia tidaklah menjadi andai ia ditafsirkan melalui dasar dan implementasi yang bersifat authoritarian, seragam atau kesamarataan (equality) semata-mata. Keadilan ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya sesuai dengan haknya. Untuk menunaikan keadilan pula, setiap individu perlu sedar dan menunaikan tanggungjawab dia kepada orang lain dalam negara ini. Tidak jadi jika hanya menuntut hak atas dasar kesamarataan, tapi mengabaikan tanggungjawab untuk menyumbang sebagai warganegara.

1 Malaysia hanya dapat dijelmakan apabila setiap warganya sedar bahawa masing-masing mempunyai tanggungjawab ke atas hak orang lain. Keseimbangan ini perlu wujud terlebih dahulu. Untuk ianya wujud, maka perlu ada asimilasi dan integrasi dengan cara memahami dan menghormati budaya, bahasa dan agama satu sama lain.

Apabila hal ini difahami, barulah ia dapat dijelmakan melalui tindakan yang objektif dan rasional.pesta-kebudayaan-cina-7  Asimilasi ini telah lama berlaku tanpa masalah dan perlu dimantapkan lagi. Sudah sekian lama orang Cina dan India bercakap Melayu, memakai baju Melayu, songkok, dan baju kurung ke pejabat tanpa sebarang komplen. Itu bukti mereka menerima dan memahami. Orang Melayu pun mula guna chop-stick dan boleh pula cuba pakai Cheong-sam, sari dan kurta. Andai kita kata ‘Sunnah’ pakai jubah yang dipakai Arab di padang pasir tu, rasanya lebih ‘Afdhal’ bagi Melayu Muslim Malaysia memakai qurta India dan baju Cina ala sifu itu. Alangkah cantiknya! Itu sekadar contoh asimilasi dalam soal pakaian dan makanan, banyak lagi bab lain boleh dicuba.

Kesimpulan

Ibarat pepatah Melayu, “Rambut sama hitam, hati lain-lain”. Setiap orang pastinya berbeza dari segi prinsip dan pegangan, apatah lagi dari sudut amalan dan perbuatan. Namun ini bukanlah alasan untuk kita terus mencari lebih banyak alasan untuk kita berbeza dan tidak dapat duduk bersama. Perbezaan hanyalah variasi untuk difahami. Setelah difahami, ia diterima, maka wujudlah keharmonian.

Oleh itu, usah kita bersikap keras seperti komunis dalam usaha kita mewujudkan kestabilan di negara ini dengan memikirkan satu cara, kaedah atau solusi sahaja dalam pelbagai isu. Walaupun niatnya tesebut baik, namun biarlah kita hidup dalam kepelbagaian, lebih variasi, lebih warna warni supaya kita memahami, menikmati dan menghargainya. Maka gagasan yang lebih objektif di sebalik 1 Malaysia, ialah 1 Harmoni Malaysia.

Kasih Ibu, Sayang Ayah

Posted by: Abul Harith on: May 13, 2009

DOTS happy family cartoon

Coretan ini tiada kena mengena dengan Hari Ibu yang baru disambut (bila ya Hari Ibu?). Saya tidak menyambut Hari Ibu, Hari Bapa, mahupun Hari Kekasih. Biarlah. Bagi saya, ia hanyalah satu hal yang sengaja dibesarkan dan diadakan untuk dimanipulasi sang Kapitalis. Dengan membesarkan hal ini, kita menjadi konsumer mereka dengan membeli hadiah, makanan dan bermacam perkara tak perlu untuk diberi kepada Ibu dan Ayah kita.

Tunggu, jangan emosi. Tidak pula saya menyalahkan sesiapa yang menyambutnya. Sambutlah jika mahu. Tapi saya merasakan bukanlah caranya menunjukkan kasih sayang pada Ibu dengan menyambut dan memberi hadiah pada Hari Ibu. Bagaimana pula dengan sebilangan kita yang Ibu mereka yang telah pun bersemadi aman di bawah sana?

Lantaran itu, jika ada yang mengatakan, “Buat apa sambut Hari Ibu, aku sayang Ibu aku tiap-tiap hari,” saya akan katakan, “Kasih ibu, kasih abadi, selagi hayat kita dikandung badan.”

Betul, mengasihi Ibu bukan sekadar Hari Ibu. Kita belum tahu, apakah hadiah yang diberi, makan yang dibelanja dan kata yang diucap sudah cukup membahagiakan hati Ibu kita. Apakah ia cukup membalas salah silap kita terhadapnya (tak mampu saya senaraikan, sebab apa yang disenaraikan adalah dari pengalaman sendiri yang banyak buat salah pada Ibu)

Dalam keluarga saya, tidak pernah ada budaya cium pipi dan dahi Ibu dan Ayah. Yang ada hanyalah sekadar salam dan cium tangannya, apabila pulang dari kejauhan dan Hari Raya. Sehinggalah, salah seorang sahabat saya yang mengetahui hal ini. Dia berkata, “Kenapa tidak cium pipi dan dahi atau peluk Ibu dan Ayah sekarang? Apakah perlu tunggu Ibu dan Ayah sejuk dan pucat terbaring kaku, baru nak cium dan peluk dengan berlinang air mata?”

ibuTerima kasih buat sahabat saya. Terus saja dari nasihat itu, saya menunggu saat balik kampung dan peluk dan cium pipi dan dahi Ibu dan Ayah saya. Terasa rangkulan balas yang sangat erat, penuh kasih dan disulami mata berkaca. Bagi saya, itulah saat yang paling bahagia. Saya tidak tahu apa perasaan Ibu dan Ayah saya. Namun saya merasa aura kasih yang ikhlas mengalir dari kedua Ibu dan Ayah saya. Walaupun saya pernah dan sentiasa memberi cenderamata atau ucapan, bagi saya ia tidak dapat menandingi kucupan di pipi dan dahi Ibu dan Ayah. Sampai sekarang, saya merasai kehangatan kasih yang sama tiap kali mencium Ibu dan Ayah.

Begitulah, terdapat banyak cara mengungkapkan kasih. Material atau ucapan belum pasti dapat menjadi orang tengahnya. Kasih kita pada Ibu dan Ayah terletak di saat kita menyampaikan kasih kita kepada mereka dengan sepenuh dan seikhlas hati walau dengan apa cara sekalipun. Bukan dengan mengikut apa yang orang buat. Kerana semua meraikan Hari Ibu, maka kita pun turut sama dengan cara orang meraikannya.

Kasih pada Ibu dan Ayah bergantung pada kesanggupan kita berkorban menyenangkannya ketika hadir dan mengenangnya ketika berjauhan. Ia mesti menjadi keutamaan melebihi yang lain. Bersikap hipokrit dan ‘double standard’ kepada Ibu dan Ayah sendiri akan merugikan. Kerana hanya jalinan emosi yang ikhlas yang akan membolehkan kita merasa aliran kasih sayang Ibu dan Ayah.

Jadi, amat malang andai Ibu dan Ayah dikesampingkan dari orang lain. Ibu dan Ayah memberi duit dengan kasih, namun kasih itu digadai dengan top-up untuk telefon kekasih (baca: awek) berjam-jam setiap hari. Sedangkan Ibu dan Ayah langsung tidak dilayan begitu, malah tidak berhubung pun dalam seminggu. Hinggakan Ibu & Ayah pula yang menelefon si anak. Maka, jawablah si anak dengan nada mahu tak mahu. Maka, bagaimana mendapat berkat kasih sayang dari Ibu dan Ayah.

Itu cuma satu kisah. Masih banyak cerita yang telah, sedang dan akan berlaku yang boleh didramakan. Pokoknya, ia bergantung pada kita sendiri. Tanyalah hati, “Bagaimana telah ku layan Ibu dan Ayahku di depannya dan di belakangnya?”

Kasih pada Ibu dan Ayah juga bukan sekadar setiap hari dalam hidupnya. Kasih pada Ibu dan Ayah seharusnya kasih abadi, yang dijelmakan walaupun mereka telah tiada selagi kita masih bernafas. Namun, apakah kita menunggu jasad mereka terbujur kaku baru hendak kita mengucap kasih, maaf, berlaku baik, menyesal kesalahan dan berdoa?

“Wahai TUHAN kami, kasihinilah mereka berdua (Ibu dan Ayah) sebagaimana mereka telah mengasihi kami sewaktu kecil” (Al-Isra’ : 24)

Tags: , ,

Krisis Ketuanan Melayu

Posted by: Abul Harith on: December 4, 2008

Tuan Tanah dan 'Peasant' yang mempunyai cangkul..

Tuan Tanah dan

Bicara tentang Ketuanan Melayu, suatu yang menarik hati dan sentimen kerana diri penulis adalah Melayu sejak lahir, ibu bapa Melayu dan seluruh budaya hidup adalah Melayu. Tiada anasir lain yang diterap dalam hidup selama ini selain dari cara Melayu. Makanan Melayu, baju Melayu dan pastinya bahasa Melayu. Hidup pula di negara Malaysia yang mempunyai kata akar ‘Malay’, merujuk kepada rumpun Melayu selaku peribuminya. Subjek sejarah di sekolah dulu pun mengajar, bahawa tanah air ini, dahulunya dikenali sebagai ‘Tanah Melayu’.

Ya, kita bangsa peribumi tanah ini. Lantaran itu tidak hairan jika ada pihak dengan tegas mahu orang lain seluruhnya mengiktiraf bahawa merekalah ‘tuan’ tanah ini. Walhal tanpa disedari ramai juga tuan tanah Melayu sejak dulu lagi telahpun menjual tanahnya sejengkal hingga sebidang demi sebidang kepada pemaju hartanah dari bangsa lain kerana laba sementara. Sedangkan pihak yang membeli itu untung lebih 10 kali ganda dari empunya tanah asalnya.

Status Quo Ketuanan Melayu

Jika lidah ini bertulangkan rasa hati, sudah pasti akan ada rasa tidak puas hati andai ada orang lain yang datang dan mengambil sedikit demi sedikit apa yang asalnya milik bangsa sendiri. Tapi jika lidah ini mesti bertunjangkan otak dan minda yang waras, pasti ia terpaksa akur dengan hukum TUHAN dan juga hukum alam, “Siapa yang usaha, dia akan dapat.”

Ketuanan Melayu tidak lain hanyalah ‘status quo’ kepada bangsa Melayu yang telah mendiami tanah ini. Tapi semasa dan sejurus selepas merdeka, status quo ini diakui kerana kekuatan dan sumbangan bangsa Melayu itu sendiri terutamanya dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dan membina stuktur negara ini. Bangsa Melayu menguasai politik dan menjadi pengasas dan pendiri negara ini.

Namun, setelah lebih 50 tahun merdeka, zaman berubah pantas. Kita terpaksa mengakui bahawa yang menjadi kepentingan negara masa kini adalah perkembangan dan pembangunan terutamanya dari aspek ekonomi dan sosiobudaya. Dan ternyata bangsa lain yang mendahului dalam memacu perkembangan dalam aspek ini. Maka, status quo Ketuanan Melayu makin hari hanyalah tinggal slogan, laungan dan jeritan. Ia tidak dilihat sebagai kekuatan dan penguasaan dalam kedua-dua aspek penting pembangunan negara masa ini.

Maka, apabila berbicara soal Ketuanan Melayu pada hari ini, kita perlu keluar dari paradigma hanya untuk berbicara kedudukan istimewa dalam politik, pengekalan budaya dan penerimaan bahasa Melayu semata-mata. Tidak dinafikan, hal itu amat penting diperjuangkan. Tapi tanpa pengusaan dan prioriti dalam aspek yang menjadi keperluan pada zaman ini, segala usaha memperjuangkan unsur terbabit akan diperlekeh.

Aku Melayu..

Aku Melayu..

Ketuanan Melayu tanpa Kekuatan

Dalam kita memperjuangkan posisi istimewa bangsa Melayu dalam politik untuk kelangsungan Ketuanan Melayu, ‘tuan-tuan Melayu’ inilah yang rancak dengan rasuah yang tidak beretika. Ketika DEB dilaung sebagai benteng ekonomi orang Melayu, berbillion kekayaan ini masuk ke poket ‘tuan-tuan Melayu’. Apabila diperjuang baja subsidi dan kontrak untuk bangsa yang menjadi tuan negara ini, kita jual kepada bukan Melayu.

Di saat kita galak mempromosi bangsa Melayu agar tidak lapuk, ketika itulah bangsa Melayu menjadi majoriti penghuni pusat serenti dan penjara. Apabila bangsa ini marah biasiswa diberi kepada kaum lain dengan banyak sekali, semakin banyak bangsa ini yang gagal di universiti kerana masalah akhlak dan sosial. Betapa perjuangan tidak selari dan seimbang dengan realiti mahupun tindakan kita. Beginikah Ketuanan Melayu yang mahu diperjuangkan?

Menuntut suatu peingiktirafan yang besar, memerlukan sumbangan yang lebih besar. Sebelum berbicara tentang hak, biarlah kita dulu menunaikan tanggungjawab kita terhadap orang sendiri mahupun orang lain. Kadang-kadang, kita lebih lajak dari laju. Kita bersikap reaktif dan defensif dalam isu ini dan berfikir kaum lain sedang mengancam kita. Tapi kita jarang sedar bahawa kebanyakan masa, kita yang menghakis hak kita sendiri lantaran kurang menunaikan tanggungjawab terhadap bangsa sendiri.

Islam Asas Kebangkitan Bangsa Melayu

Sebagai solusi, nampaknya kita perlu mengikut hukum alam dan juga sejarah. Mengikut prinsip ini, apabila kita terus menerus cuba melihat, mengikut dan meniru orang lain, kita akan sentiasa ketinggalan. Mungkin kita boleh maju dengan melihat contoh bangsa Cina ataupun telunjuk barat, tapi hakikatnya kita sentiasa akan ketinggalan kepada mereka. Cara fikir secara selari dengan mereka akan menyebabkan kita selalu kalah dalam perlumbaan ini kerana mereka telah mula lari dan pecut terlebih dahulu.

Bagaimanapun, mungkin iktibar sejarah kebangkitan tamadun Arab boleh menjadi teladan. Di saat itu, Rom dan Parsi telahpun muncul sebagai kuasa besar dunia. Rom membina bangunan tinggi dan Parsi mencipta teknologi canggih. Andai Arab cuba menjadi maju dengan bertindak selari dengan mereka dalam membina bangunan dan teknologi, maka Arab tetap akan ketinggalan.

Justeru, nilai agamalah yang menjadi asas tamadun Arab muncul menyaingi dua kuasa besar terbabit. Tanpa bangunan yang lebih tinggi dari Rom, mereka tetap menyinar kerana mereka mempunyai kebijaksanaan, mengusai bidang keilmuaan, membina jatidiri yang teguh, semangat yang berkobar dan akhlak moral yang murni. Tiada rasuah, tiada kezaliman, tiada kemiskinan, dan tiada kebinasaan melampau. Itu memberi kekuatan yang mengalahkan Rom dan Parsi yang jatuh kerana krisis moral.

Begitu halnya dengan bangsa Melayu. Memartabatkan Melayu dan elemen Melayu lain pada zaman ini bukanlah dengan menegaskan slogan Ketuanan Melayu semata-mata. Keupayaan dan kekuatan menjadi merit sebelum layak menuntut Ketuanan. Tidak boleh juga bangsa Melayu melakukan perkara yang sama dengan bangsa lain yang telah mempunyai tamadun yang lama, tapi mengharapkan natijah yang lebih baik. Selamanya, kita sentiasa dibelakang. Solusinya, perjuangan menerapkan nilai dan ajaran Islam lebih utama dari perjuangan menjaga sentimen dan elemen bangsa Melayu.

Akhirnya, biarlah kita bangga menjadi bangsa Melayu zaman ini bukanlah kita ada baju Melayu, makanan Melayu, budaya Melayu ataupun bahasa Melayu. Walaupun kesemua unsur tadi wajib dipertahankan, tapi biarlah kita bangga sebagai orang Melayu kerana orang Melayu mendahului dalam bidang politik, ekonomi, sains, sastera, agama, sosiobudaya dan akademik. Oleh kerana kita belum mencapainya, maka aspek inilah perjuangan kita, bukannya memperjuangkan tradisi mencium keris semata-mata.

Bacaan lanjut:

Apa makna ‘Ketuanan’?

Oleh ANUAR AHMAD (Utusan Malaysia)

TANGGAPAN pemikiran Timbalan Presiden MCA, Dato Seri Dr. Chua Soi Lek bahawa ketuanan Melayu tidak relevan memang ada benarnya. Malah sokongan Ketua Wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun terhadap kenyataan ketuanya itu pun ada maknanya. Percaya atau tidak, marah atau tidak, nampaknya ketuanan Melayu memang tidak relevan lagi. Tidak perlulah ditukar konsep ketuanan Melayu kepada konsep keabsahan Melayu atau kepimpinan Melayu, kekuasaan Melayu atau apa sahaja, pokoknya memang makna ketuanan Melayu sudah tidak relevan pun.

Cumanya tak relevan ketuanan Melayu pada pemikiran penulis tidaklah sama dengan pemikiran dua tokoh pimpinan MCA itu. Tidak relevannya ketuanan Melayu pada penulis ialah walaupun orang Melayu adalah ‘tuan’ di tanah airnya sendiri tetapi bak kata orang tua-tua ‘menang sorak kampung tergadai’. Makna ketuanan Melayu sudah hilang relevan bila orang Melayu sendiri termasuk para pemimpinnya mula berperangai seperti Pak Kaduk.

Orang Melayu diakui dalam sejarah negara sebagai penduduk asal tanah air ini. Pada 2010 dijangka orang Melayu akan terus merupakan majoriti di negara ini dengan kadar 67 peratus, berbanding etnik Cina 24.3 peratus dan etnik India 7.4 peratus. Manakala lain-lain etnik akan berada pada tahap 1.3 peratus. Bagaimanapun data ini belum boleh memberikan makna tentang menjadikan ketuanan Melayu sebagai sesuatu yang relevan di kalangan masyarakat Melayu negara ini.

Ideologi

Dari segi politik, pemecahan orang Melayu memang sudah jelas. Atas nama ideologi yang berbeza orang Melayu berpecah kepada tiga kumpulan utama iaitu UMNO, Pas dan PKR. Berdasarkan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri-negeri, jelas taburan kuasa politik menunjukkan bahawa negara ini adalah sebuah negara yang mengamalkan perkongsian kuasa yang kadang kala mencabar ketuanan Melayu. Jelasnya, secara politik orang Melayu bukanlah lagi tuan punya secara mutlak di tanah airnya sendiri.

Dari segi sosial, orang Melayu merupakan penyumbang terbesar kepada masalah sosial negara. Tidak benar jika dikatakan oleh kerana orang Melayu adalah penduduk paling ramai maka tentulah pelaku masalah sosial ialah kebanyakannya orang Melayu. Statistik PDRM 2006, menunjukkan orang Melayu masih merupakan kumpulan etnik yang paling ramai menagih dadah di Pulau Pinang walaupun orang Melayu bukanlah kumpulan majoriti di negeri tersebut.

Selain dadah, kes penderaan dalam keluarga, sumbang mahram, keciciran pendidikan serta pelbagai perlakuan delikuensi masih dikuasai oleh generasi muda Melayu. Jika tidak dibanteras segera maka ketuanan Melayu tentunya tidak relevan lagi, bukan sahaja menyediakan pemimpin negara malah sebagai tenaga kerja profesional negara pada masa depan.

Tetapi apa yang paling menarik untuk membicarakan makna ketuanan Melayu adalah dengan melihat daripada perspektif ekonomi. Menjadi ‘tuan’ bermakna seseorang menguasai sepenuh hartanya. Misalnya, tidak mungkin seseorang menjadi tuan rumah jika rumahnya adalah milik orang lain. Berdasarkan statistik tahun 2004 yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi menunjukkan pendapatan orang Melayu 37.5 peratus lebih rendah daripada orang Cina. Manakala pendapatan orang Melayu adalah 22.4 peratus lebih rendah berbanding orang India.

Ringkasnya, selepas 50 tahun merdeka orang Melayu masih merupakan kumpulan etnik yang berpendapatan paling rendah di kalangan etnik utama negara ini. Pelik bunyinya bila tuan di tanah air sendiri lebih miskin berbanding orang lain. Apakah maknanya ketuanan Melayu jika kuasa ekonomi orang Melayu jauh lebih rendah daripada kaum lain.

Berdasarkan data purata pendapatan bulanan mengikut kumpulan etnik utama pada tahun 2004 oleh Unit Perancang Ekonomi, purata pendapatan bulanan orang Melayu ialah RM2,711, orang Cina RM4,437 dan orang India RM3,456. Jelas sekali orang Melayu secara keseluruhannya masih merupakan kumpulan etnik yang berpendapatan paling rendah di kalangan etnik utama di negara ini. Malah lebih menarik, orang Melayu yang digambarkan sebagai tuan di negara ini merupakan satu-satu etnik yang berada di bawah paras purata pendapatan rakyat Malaysia iaitu RM3,246.

Malah bagi menunjukkan betapa tidak relevannya makna ketuanan Melayu itu, lihatlah data berkaitan pemilikan unit bangunan dan premis komersial berdasarkan kumpulan etnik Melayu dan Cina sebagai perbandingan asas.

Ketinggalan

Tentunya data-data ini menunjukkan kesimpulan bahawa orang Melayu sangat jauh ketinggalan di dalam semua bidang di negara sendiri. Bagaimana kaum lain berjaya menguasai kekayaan negara haruslah dihormati dan diakui. Mereka telah secara bersungguh-sungguh menguasai ilmu dan juga menunjukkan kekentalan mental dan disiplin kerja yang tinggi untuk mencapai kekayaan itu.

Malah terbaru, lihatlah bagaimana beberapa hari lalu Amanah Saham Wawasan (ASW) 2020 yang bernilai 490 juta unit habis dilanggan oleh bukan bumiputera dalam masa 6 jam 10 minit sahaja. Pada 18 Julai 2007 lalu, sejumlah 500 juta unit Amanah Saham Malaysia (ASM) telah dilanggan oleh bukan bumiputera dalam masa hanya 39 minit sahaja. Bayangkan nanti pada 1 Disember 2008 apabila satu bilion unit tambahan ASM akan ditawarkan oleh Permodalan Nasional Bhd. (PNB). Bagi orang Melayu, tidak perlulah menunggu sehingga minggu depan kerana unit ASM yang telah ditawarkan sejak sekian lama pun belum lagi habis dilanggan.

Nampaknya perancangan orang Melayu tidak begitu menjadi jika dibandingkan dengan jumlah tenaga manusia, kuasa politik serta segala macam kemudahan dan modal yang disediakan untuk memajukan mereka. Sebenarnya, sangat jarang berlaku di dalam mana-mana negara di dunia, sebuah negara yang dikuasai oleh etnik majoriti serta menguasai kuasa politik, kumpulan etnik tersebut berada jauh ketinggalan berbanding etnik minoriti seperti mana yang berlaku di Malaysia.

Sesuatu secara besar-besaran untuk membangunkan ‘makna ketuanan Melayu’ tanpa menyinggung kumpulan etnik lain mestilah dilakukan dengan kadar segera. DEB yang murni wadahnya dan disokong oleh segenap lapisan masyarakat pun masih tidak dapat mencapai sasaran untuk meningkatkan ekonomi Melayu pada paras 30 peratus.

Lebih menyedihkan bila data Unit Perancang Ekonomi pada tahun 2004 menunjukkan kemiskinan orang Melayu adalah 8.3 peratus jauh lebih tinggi daripada orang Cina (0.6 peratus) dan orang India (2.9 peratus). Pimpinan Melayu mesti berani untuk mengakui kelemahan DEB dan bersedia untuk belajar daripada pengalaman DEB dan perbetulkan kelemahan tersebut.

Oleh itu sesuatu yang jauh lebih besar perencanaan berbanding DEB mestilah dibangunkan oleh pimpinan Melayu di negara ini. Lebih daripada itu, orang Melayu khususnya pimpinannya harus meningkatkan integriti dan kredibiliti kemelayuannya. Pimpinan Melayu mestilah boleh menonjol dan menguasai ruang politik pelbagai etnik secara meritokrasi bukan kroni, terbukti cemerlang dan pada masa yang sama mempunyai sikap benci kepada rasuah, politik wang dan budaya mengambil kesempatan atas wang rakyat.

Mereka jua mestilah boleh membuktikan keberkesanan pengurusan yang cekap dan adil. Hasilnya mereka akan berupaya untuk mengubah secara langsung makna ketuanan Melayu untuk diterima oleh bukan sahaja orang Melayu tetapi yang lebih penting oleh kumpulan etnik yang lain. Jika pimpinan Melayu sekarang tidak bertindak meningkatkan integriti dan kredibiliti kemelayuan mereka, pastinya ketuanan Melayu akan tidak relevan lagi.

Reformis atau Liberalis?

Posted by: Abul Harith on: December 1, 2008

change

(ditulis sebagai respon kepada pejuang hak asasi atau reformasi yang ‘bising’ dengan keputusan Majlis Fatwa. Termasuk juga Robin Hood rakyat yang mahu berbogel)

Kadang-kadang kita keliru dengan slogan pembaharuan. Atas nama perubahan (change) ataupun pembaharuan (reformation), ramai melihat ianya suatu keperluan yang mendesak. Maka tumbuh pelbagai NGO dan gagasan dalam memperjuangkannya.

Betul, perubahan dan pembaharuan adalah satu usaha pembaikan. Jika enggan berubah kepada yang baharu, kita ibarat umat yang inferior yang selalu ditakuk lama. Ia juga impian pihak yang sekian lama merasa hak mereka tidak diberi perhatian. Lantaran itu, Obama menjadi dipilih Presiden kulit hitam pertama USA dan 5 negeri hilang kepada PKR dalam hikayat politik 2008. Semua mahu perubahan!

Namun, bukan semua proses perubahan dan natijahnya baik. Usaha berfalsafah Machillavi atau matlamat menghalalkan cara pastinya tidak diizinkan agama Islam. Pastinya berbogel menuntut hak tertentu bukanlah direstui masyarakat normal dan juga agama walaupun yang dibela itu kelompok yang tertindas. Kaedah Robin Hood walaupun dilihat baik di sisi orang ramai, belum tentu direstui agama.

Perubahan atau pembaharuan perlu juga dilihat pada intipatinya. Ada pihak yang ghairah melaung slogan reformasi, namun isinya hanyalah liberalisasi. Atas nama pembaharuan, mereka hanya cuma mahu kebebasan, terlepas dari dogma dan norma yang selama ini menjaga keharmonian seluruh umat.

Dengan nama reformasi, fatwa pengkid dan yoga ditentang dengan alasan membela golongan tertentu. Sedangkan mereka hanyalah minoriti yang mengikut nafsu dan akal semata-mata dan lupa diri mereka sebagai hamba TUHAN. Walhal fitrah (nature) kelompok majoriti yang senang dan tenang tunduk kepada hukum TUHAN tidak dipandang. Maka, jadilah insan itu seperti menatang kutu yang menghisap darah di kepala sendiri bagai menatang minyak yang penuh.

Maka, boleh jadi kita obses akan idea reformasi ke atas cara fikir dan perbuatan diri sendiri dan orang sekeliling, namun tanpa disedari ianya hanyalah liberalisasi nafsu yang melampaui hak orang lain. Berhati-hatilah!

Bogel: Polis tidak akan layan permohonan permit

28/11/2008 5:30pm

SHAH ALAM 28 Nov. — Polis menegaskan tidak akan melayan sebarang permohonan permit daripada Gerakan Reformis Rakyat Malaysia (Reformis) jika mereka bercadang mengadakan demonstrasi berbogel di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar bagaimanapun berkata, pihaknya akan menunggu permohonan permit daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu terlebih dahulu sebelum memberikan sebarang komen.

“Kita tunggu dan lihat permohononan permit bagi mengadakan demonstrasi ini…nak tengok macam bogel mereka nak buat…tak kan lah orang nak memohon semata-mata untuk berbogel.

“Kalau niat mereka semata-mata untuk itu (berbogel di khalayak umum), maka polis tidak akan mempertimbangkan sebarang permohonan daripada mereka… kalau nak bogel, bogellah di bilik rumah sendiri…yang itu boleh,” kata beliau kepada pemberita selepas menerima alat ujian saringan awal air kencing bagi mengesan penyalahgunaan dadah jenis ketamin daripada Persatuan Jaksa Pendamai (JP)Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPPK) Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Reformis, Ramlan Abu Bakar baru-baru ini yang mahu meneruskan demonstrasi berbogel itu sebagai tanda bantahan kepada kerajaan negeri yang menaikkan kadar sewa penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) daripada RM124 kepada RM250 sebulan. – Bernama

Teliti Dalam Menerima & Menyampaikan Khabar

Posted by: Abul Harith on: September 18, 2008

(sebagai respon kepada tabloid, majalah dan mailing list yang menyebarkan cerita mistik dan tahyul)

Oleh : Ahmad Faidhi Mohd Zaini, Islamic Renaissance Front (IRF)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَأٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ

فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ (6) سورة الحجرات

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, Maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (al-Hujurat, 6)

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَا حَرَجَ

وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

“Sampaikan dariku walau satu ayat, dan ceritalah dari Bani Israil tapi jangan pegang (percaya sepenuhnya). Dan barangsiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka bersedialah tempat duduknya dari api neraka.” (al-Bukhari, No. 3227 JK)

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا ، أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

“Cukuplah seseorang itu menjadi pendusta, apabila dia bercerita akan segala perkara yang dia telah dengari” (Muslim, No. 6 JK)

Islam, agama mempunyai rekod perkembangan lebih 1420 tahun, adalah agama yang menyeru umatnya amanah, jujur dan bertanggungjawab dalam segala amalan dan ilmu yang disampaikan. Ini penting dalam menjaga kesinambungan agama ini kepada semua insan di dunia.

Untuk itu, Ar-Rasul s.a.w menggalakkan umatnya menyampaikan kebaikan ke segenap penjuru dunia, bahkan diganjari pahala lagi. Dengan teknologi hari ini, ianya lebih mudah dan tidak mustahil. Namun, dalam keghairahan kita menyampaikan, Islam menyuruh kita cermat dan berhati-hati dalam menyebarkan khabar dakwah ini.

Kaedah Menyampaikan

Al-Quran dan Hadith di atas menyuruh kita berwaspada dalam hal ini. Ya, kita mahu ilmu Islam disebarkan, namun kita mahu yang disebarkan itu tepat lagi sahih menurut ajaran Islam, supaya orang lain tidak menerima maklumat yang salah tentang agama. Maka, nas di atas menunjukkan betapa pentingnya mana-mana individu yang menerima berita tertentu agar meneliti dan menyelidik dahulu sumbernya sebelum diamalkan dan disampaikan kepada yang lain. Kita perlu bijak menilai apa yang diterima dan bertanggungjawab dalam menyampaikan. Tanggungjawab itu lebih rumit andai kita tersilap informasi sehingga menyesatkan sebilangan yang lain. Na`uzubiLLAH.

Dalam menyampaikan intipati agama ini, sudah pasti kalam ALLAH dan Rasul-NYA menjadi rujukan utama, kerana atas kedua-dua sumber inilah agama ini kekal manjadi anutan sampai sekarang. Adapun pengalaman keruhanian orang perseorangan seperti pengalaman, mimpi dan ilham, andai benar sekalipun, cukuplah ia menjadi tarbiyah ruhani kepada diri sendiri. Jika disampaikan, tidaklah ia boleh menjadi nas atau dalil baru untuk orang lain mengamalkan hal tersebut. Jika begitu, maka huru haralah agama ini dengan pelbagai syariat baru berdasarkan cerita orang semata-mata.

Sesungguhnya Islam dibina atas nas wahyu al-Quran yang turun dan petunjuk as-Sunnah melalui Nabinya dengan jelas. Bukan dasar agama ini bersandar atas cerita pengalaman atau mimpi seseorang. Lantaran itu seruan kepada agama ini, sama ada menggalakkan orang berbuat baik (targhib) mahupun mengancam dari berbuat maksiat (tarhib) perlulah disandarkan kepada sumber al-Quran dan as-Hadith yang agung kesahihannya, bukannya momokon cerita murahan melalui tabloid atau majalah hiburan di kaki lima.

Sejadah bangkit

Sejadah bangkit

Masyarakat Malaysia telah pun lebih 50 tahun merdeka, dan makin diiktiraf kematangannya. Generasi muda (sekarang dikenali sebagai generasi Y) makin kritis pemikirannya dengan sumber informasi di lautan internet. Jika orang dulu yang melalui jalan gelap tanpa lampu boleh silap anggap kain putih sebagai pocong dan bunyi anjing sebagai suara dari kubur, namun tidak lagi di zaman ini tatkala seluruh bandar yang malamnya terang bagai siang. Jika dahulu orang hanya bergantung kepada tabloid Utusan di kedai kopi atau ceramah khatib untuk maklumat yang terhad, tapi sekarang pelbagai sumber, pandangan dan hujah dari segenap pelusuk dunia sampai ke bilik tidur hanya dengan beberapa klik.

Prinsip Sumber Agama

Kemurnian agama ini juga terletak pada fakta dan angka (facts and figure) untuk difahami dan diikuti dengan mudah dan logik. Bukannya syok sendiri mengikut rasa hati dan syak wasangka segelintir manusia, walau apapun kedudukannnya dalam institusi agama. Sesungguhnya generasi cerdik pandai dan professional hari ini akan bertanyakan bukti dan hujah sebelum beramal dengan yakin. Menerima dan mengikut membuta tuli bukanlah nature didikan mereka terutamanya bagi mereka yang berada di bidang sains. Kapasiti minda dan kemampuan intelek akan membawa mereka meneliti, menganalisis dan menyelidik pelbagai hal yang dikemukan termasuk dalil dan cerita agama.

Justeru, agama perlu dibebas dari sebarang bentuk cerita dan hujah yang bersifat mistik dan tahyul. Cukuplah cerita sebegini membawa generasi terdahulu kepada kepercayaan karut marut, khurafat mahupun syirik. Kita juga tidak mahu cerita sebegini menyebabkan generasi kritis hari ini memperlekeh dan mempersenda agama kerana perkara ini. Lantas mereka akan menjauhi agama kerana menganggap agama itu lapuk atau dongengan semata, dan tidak dapat mengikuti keintelektualan mereka dan kemodenan dunia.

Apatah lagi, cerita karut ini akan memberi persepsi negatif dan menakutkan non-Muslim tanpa sebab. Nanti fikir mereka, “Aiya ! Kalu masuk Islam tak semayang, mati jadi babi ka? Kalu masuk Islam tak hormat papa mama, kena sumpah jadi monyet ke? Kalu main golf waktu azan, hantu kacau ke? Kalu manyak salah, nanti accident dan koma, terus kena bakar dalam neraka hidup-hidup. Aiyoyo, tak jadi Islam lagi baik woo!!”. Apakah Islam sebegini yang ingin kita gambarkan?

Konklusi

Oleh itu, warga media dan individu akan dipertanggungjawabkan atas segala perkara yang mereka sampaikan sama ada benar atau salah. Mereka juga bertanggungjawab jika menyesatkan, meracuni dan memandulkan fikiran orang lain. Jadi sebaik-baiknya kita hindarkan hal ini, seterusnya fikir, semak dan tanya kepada yang ahli sebelum bertindak. Jika terdapat pihak lain menyampaikannya, maka peranan kita jugalah untuk menerangkannya. Menjaga kemurnian agama dari anasir karut adalah lebih utama daripada menyampaikan perkara yang disangka baik tapi tidak benar.

Maka, sempena Ramadhan yang mulia ini, bersama kita sucikan hati dan minda dari pemahaman melalui cerita yang kurang relevan dan rasional ini. Bersamalah kita tonjolkan Islam yang agung, penuh rahmah, syumul, ‘alamiyah dan rasional dengan bersandarkan dalil sahih al-Quran dan as-Sunnah demi kebaikan semua.

* JK – Software Hadith Jawami’ul Kalim

Tazkirah : Syurga itu ada Harganya

Posted by: Abul Harith on: September 17, 2008

Tanpa berdasarkan nas, orang yang tidak pernah membaca al-Quran dalam umur hidupnya pun tahu bahawa syurga itu wujud dan ada harganya. Umpama realiti dunia hari ini, tiada apa yang percuma, hampir semuanya perlu dibayar. Seperti mana semua orang tahu bahawa mereka pasti mati pada akhirnya, tanpa seorang pun terlepas. Mereka juga pasti walaupun lidah menafikan, bahawa syurga atau neraka adalah destinasi mereka seterusnya selepas meninggalkan alam ini. Lantaran itu kita melihat berapa ramai sesudah matinya membelanjakan RM untuk majlis tahlil dan sebagainya untuk ‘membeli’ syurga.

Syurga dan neraka adalah dua pilihan berbeza. Sudah pasti jika diajukan soalan, semuanya memilih syurga, tiada yang kepinginkan neraka. Namun pilihan itu harus ditentukan sebelum akhir hayat ini. Tiada guna RM yang ditaburkan oleh anak pinak saudara mara kita selepas mati kita semata-mata menebus kita dari neraka. Di alam barzah, sudah tiada upaya bagi kita membuat pilihan mengubah keputusan. Yang ada hanyalah pengadilan adil lagi muktamad ke mana kita di akhirnya.

‘Urusan jual beli’ mestilah mengikut syarat dan harga yang ditetapkan penjualnya. Adalah mustahil bagi pembeli membayar sesuka hati dengan harga yang rendah untuk mendapat sesuatu yang lebih mahal. Lebih teruk lagi, ada yang membayar harga mahal untuk membeli sesuatu yang buruk dan rosak, tapi di akhirnya ingin ditukar dengan suatu yang indah yang tidak pernah dia hiraukan selama ini.

Namun begitulah lumrah manusia, wang ringgit, tenaga dan masa dibazirkan atas usaha maksiat sia-sia, malah merosakkan diri sendiri. Melanggan dan berkunjung ke tempat maksiat semuanya memerlukan ‘pengorbanan’ RM yang mahal, ditambah lagi dengan kerisauan ‘kantoi’ dan juga cemuhan orang, tapi itulah yang dipilih jua.

ALLAH, dengan segala rahmat dan kasihnya tiadak pernah meletak harga yang mahal untuk syurga-NYA, malah dipermudahkan lagi jalan ke arahnya. Tiada wang diperlukan untuk berakhlak dan beramal soleh. Tidak perlu bayar untuk bercakap baik dan benar tanpa dusta, tiada yuran untuk memasuki masjid dan majlis ilmu dalamnya. Tiada caj prepaid untuk bangun ‘berhubung’ dengan-NYA di malam hari dan bila-bila masa. Yang perlu hanyalah DIRI samaada mahu atau tidak, dan juga HARTA mengikut kemampuan masing-masing (no fix price) untuk memudahkan urusniaga itu.

Firman ALLAH;

إِنَّ اللّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ

فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللّهِ فَاسْتَبْشِرُواْ بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (111) سورة التوبة

“Sesungguhnya ALLAH telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berjuang pada jalan ALLAH; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari ALLAH di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada ALLAH? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.” -At-Taubah, 111-

Begitulah syarat jual beli yang termaktub. TUHAN maha ADIL, maka DIA tidak menerima kaedah urusniaga dengan wang tunai selepas sahaja meninggal. Kerana yang diperlukan adalah usaha si empunya badan sendiri semasa hayatnya, bukannya duit disaat jasadnya kaku tidak bergerak. Andai begitu kaedahnya, maka untunglah para jutawan, pembesar atau sesiapa sahaja yang Fasiq (orang yang berdosa) masa hayatnya. Dengan keluarganya menabur wang ringgit, dianjurkan tahlil dan jamuan, maka ditambah pahala dan tingkatan syurganya.

Jika demikian halnya, maka syurga akan menjadi ekslusif untuk pembesar dan jutawan yang mampu membiayai seluruh kampung atau daerahnya untuk beramal bagi pihaknya yang telah mati. Yang miskin akan ketinggalan dalam perlumbaan seperti dasar kapitalis tika ini. Yang kaya bertambah mewah, yang miskin terus kempunan.

Maha Suci ALLAH, DIA tidaklah begitu.

إِنَّ اللَّهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ ، وَأَمْوَالِكُمْ ، وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ ، وَأَعْمَالِكُمْ

“Sesungguhnya ALLAH tidak memandang kepada rupa parasmu dan harta kamu, tapi DIA memandang kepada hatimu dan amalan kamu” -HR Muslim-

Pokoknya, semua bermula dengan taqwa. Bersamalah mengilap taqwa di bulan Ramadhan ini untuk meraih syurga di Akhirat kelak.

Tags:

Rahmat Ramadhan

Posted by: Abul Harith on: September 13, 2008

Rahmat Ramadan, sampai tak sempat nak update blog ni. Penuh berkat & rahmat. Program, iftar & tarawih mengisi tiap hari. AlhamduliLLAH. Terdapat juga beberapa progam yang terpaksa tidak hadir kerana yang lain lebih dahulu.

Isnin, 8 September 2008

  • Iftar Harian & Tarawih bersama CUCMSians
  • Anjuran PPIM CUCMS
  • 6.00 pm – 10.30 pm
  • Hall 3, CUCMS

Selasa, 9 September 2008

  • Iftar & Majlis Ramah Mesra bersama Institusi Usrah, Multimedia University
  • Anjuran PPIM CUCMS
  • 6.00 pm – 10.30 pm
  • Hall 3, CUCMS

Rabu, 10 September 2008

  • Iftar & Usrah Mingguan
  • 6.00 pm – 10.30 pm
  • Kediaman Assoc. Prof. Dr. Mohd Ikram Salleh, Bangi

Khamis, 11 September 2008

  • Iftar, Tarawih & Usrah
  • 6.30 pm – 10.00 pm
  • Masjid Putrajaya

Jumaat, 12 September 2008

  • Iftar, Tarawih & Monthly Gathering – Islamic Renaissance Front Berhad
  • 5.30 pm – 12 am
  • Taman Melawati Gombak
  • (terpaksa menolak pelawaan menjadi panelis forum ‘Ada Apa Dengan Cinta’ sempena Night at College – Qiyamullail anjuran PPIM CUCMS. Mohon maaf kepada penganjur)

Sabtu, 13 September 2008

  • Program Tabarruat – Ihya’ Ramadan bersama S.S Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Kerajaan Perlis
  • Anjuran Institut Ibn Qayyim
  • 4.30 pm -12.00 am
  • Kelab Golf Perkhidmatan Awam, Petaling Jaya

Ahad, 14 September 2008

  • Iftar Gabungan Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Kelantan (PPIK)
  • 9.00 am – 8.00 pm
  • Kolej Darul Hikmah, Bangi
  • (terpaksa tidak menghadirkan diri program Ramadhan In Camp di El-Azhar Camp Morib anjuran PPIM CUCMS. Mohon maaf kepada penganjur)

Minggu depan pun dah ‘fully booked’

Isnin, 15 September 2008

  • Iftar
  • 6.00 pm – 9.30 pm
  • Kediaman Shahadah, Cyberheight

Selasa, 16 September 2008

  • Iftar & Usrah Mingguan
  • 6.00 pm – 10.30 pm
  • Kediaman Prof. Dr. Abdul Latiff Mohamed, Bangi

Rabu, 17 September 2008

  • Iftar Mentee Group bersama Mentor Prof. Dr. Mohamed Hatta Shaharom
  • 6.00 pm – 10.30 pm
  • Hall 2, CUCMS

Jumaat, 19 September 2008

  • Iftar, Tarawih & First Gathering – Komuniti Al-Fikrah.net
  • 5.30 pm – 11.00 pm
  • Kediaman Kapten Hafiz Firdaus Abdullah, Shah Alam

Sabtu, 20 September 2008

  • Jemputan Qiyamullail
  • Anjuran PPIM CUCMS
  • 12.00 am – 6.00 am
  • Masjid Putrajaya

  • Hantar adik (Fakhri) berlepas ke Russia (sambung belajar Medic)
  • Sebelah malam
  • Kuala Lumpur International Airport
  • (tiba-tiba rasa sedih, huhu)

Banyak program sebelah malam. Sebelah siang (8.00 am – 5.00 pm) ada kuliah. Tiap kali Jumaat, weekly examination macam biasa. Maka, waktu lapang jadi terhad.

Banyak program, maka banyak ceritanya. Harap diberi kesempatan update blog untuk berkongsi. Hingga saat ni, masih ada 2 soalan di FiqhMedic belum terjawab. Perlu sedikit masa untuk buat research.

Ku panjatkan doa, moga Ramadhan kali ini lebih bermakna sepanjang hidup ini.

Pantun Ramadhan

Posted by: Abul Harith on: September 1, 2008

Naqibku, Assoc. Prof. Dr. Ikram yang selalu obses dengan pancingnya SMS semalam;

Pergi memancing di kuala,

Di pantai menjala pula,

Ramadhan sudah pun tiba,

Semoga mendapat taqwa di akhirnya.

Dengan hampir spontan, balasku,

Budak-budak lepas berkhatan,

Emak sediakan sup haruan,

Ramadhan membawa 1001 keberkatan,

Pahala & rahmah jadi buruan.

Labbaika Ya Ramadhan, Marhaban Ya Ramadhan

Moderator di AFN

Posted by: Abul Harith on: August 27, 2008

Lewat minggu lepas, saya disapa oleh pengunjung weblog saya Fiqh Medic. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Dr. Abdullah, mesejnya.

Dr abdullah ameen, on August 19th, 2008 at 11:26 pm Said

assalamualaikum w.b.t.

syabas atas usaha akhi dalam membangunkan website ini. ana amat berminat untuk mendapatkan bantuan akhi terutama dalam fiqh perubatan. diharap dapat contact ana di email ana atau di thread perubatan dalam forum http://al-fikrah.net

wassalamualaikum w.b.t.

Saya menerima pelawaan dia dan menyertai Al-Fikrah.net (AFN). Selepas seminggu (hari ini), saya diumum sebagai Moderator Forum Soal Jawab Perubatan & Pergigian di AFN.

Assalamualaikum

alhamdulillah..akhirnyalah lengkaplah hospital AFN Glasses

untuk makluman akhi phaidee dan ukhti hani dilantik jadi moderator thread perubatan dan pergigian. walaupun akhi phaidee masih medical student, tapi beliau mempunyai pengalaman luas dalam fiqh perubatan. ukhti hani juga masih dental student tetapi mempunyai kebolehan terutama dalam menjawab soalan2 pergigian.

mungkin ramai yang tertanya-tanya mengapa masih student telah diangkat jadi moderator. untuk makluman thread lain pun ade student yang jadi moderator. jadi title student tidak menjadi persoalan utama, yang penting ilmu mereka yang kita perlukan.

thread perubatan dan pergigian memang ramai moderator kerana masing-masing mempunyai komitmen dalam bidang kerjaya masing-masing. justeru ramai pengamal perubatan moden dilantik untuk menjawab soalan2 antum dalam kadar yang segera.

diharapkan perlantikan mereka memberi manfaat besar kepada warga AFN.

wallahua’lam bissawab…

Wassalamualakum

Tiada komen. Apa yang saya tahu saya perlu menyumbang sesuatu di AFN mengikut kemampuan saya. Moga ALLAH sentiasa memberi Taufiq dan Hidayah-NYA sepanjang saya menyertai Forum AFN. Amin.

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ (19) سورة النمل

“Ya TUHAN-ku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-MU yang telah ENGKAU anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapakku dan untuk mengerjakan amal saleh yang ENGKAU redhai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-MU ke dalam golongan hamba-hamba-MU yang saleh”.

-An-Naml, 19-

Kelana Abul Harith

Days in Life

November 2009
M T W T F S S
« Sep    
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
30  

Angle of Life

DSC_0890

DSC_0848

DSC_0859

More Photos

Archives

Blog Stats

  • 3,497 hits

Visitors