Abul Harith – Synergy of Mind, Wisdom & Effort…

Krisis Ketuanan Melayu

Posted on: December 4, 2009

Tuan Tanah dan 'Peasant' yang mempunyai cangkul..

Tuan Tanah dan

Bicara tentang Ketuanan Melayu, suatu yang menarik hati dan sentimen kerana diri penulis adalah Melayu sejak lahir, ibu bapa Melayu dan seluruh budaya hidup adalah Melayu. Tiada anasir lain yang diterap dalam hidup selama ini selain dari cara Melayu. Makanan Melayu, baju Melayu dan pastinya bahasa Melayu. Hidup pula di negara Malaysia yang mempunyai kata akar ‘Malay’, merujuk kepada rumpun Melayu selaku peribuminya. Subjek sejarah di sekolah dulu pun mengajar, bahawa tanah air ini, dahulunya dikenali sebagai ‘Tanah Melayu’.

Ya, kita bangsa peribumi tanah ini. Lantaran itu tidak hairan jika ada pihak dengan tegas mahu orang lain seluruhnya mengiktiraf bahawa merekalah ‘tuan’ tanah ini. Walhal tanpa disedari ramai juga tuan tanah Melayu sejak dulu lagi telahpun menjual tanahnya sejengkal hingga sebidang demi sebidang kepada pemaju hartanah dari bangsa lain kerana laba sementara. Sedangkan pihak yang membeli itu untung lebih 10 kali ganda dari empunya tanah asalnya.

Status Quo Ketuanan Melayu

Jika lidah ini bertulangkan rasa hati, sudah pasti akan ada rasa tidak puas hati andai ada orang lain yang datang dan mengambil sedikit demi sedikit apa yang asalnya milik bangsa sendiri. Tapi jika lidah ini mesti bertunjangkan otak dan minda yang waras, pasti ia terpaksa akur dengan hukum TUHAN dan juga hukum alam, “Siapa yang usaha, dia akan dapat.”

Ketuanan Melayu tidak lain hanyalah ‘status quo’ kepada bangsa Melayu yang telah mendiami tanah ini. Tapi semasa dan sejurus selepas merdeka, status quo ini diakui kerana kekuatan dan sumbangan bangsa Melayu itu sendiri terutamanya dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dan membina stuktur negara ini. Bangsa Melayu menguasai politik dan menjadi pengasas dan pendiri negara ini.

Namun, setelah lebih 50 tahun merdeka, zaman berubah pantas. Kita terpaksa mengakui bahawa yang menjadi kepentingan negara masa kini adalah perkembangan dan pembangunan terutamanya dari aspek ekonomi dan sosiobudaya. Dan ternyata bangsa lain yang mendahului dalam memacu perkembangan dalam aspek ini. Maka, status quo Ketuanan Melayu makin hari hanyalah tinggal slogan, laungan dan jeritan. Ia tidak dilihat sebagai kekuatan dan penguasaan dalam kedua-dua aspek penting pembangunan negara masa ini.

Maka, apabila berbicara soal Ketuanan Melayu pada hari ini, kita perlu keluar dari paradigma hanya untuk berbicara kedudukan istimewa dalam politik, pengekalan budaya dan penerimaan bahasa Melayu semata-mata. Tidak dinafikan, hal itu amat penting diperjuangkan. Tapi tanpa pengusaan dan prioriti dalam aspek yang menjadi keperluan pada zaman ini, segala usaha memperjuangkan unsur terbabit akan diperlekeh.

Aku Melayu..

Aku Melayu..

Ketuanan Melayu tanpa Kekuatan

Dalam kita memperjuangkan posisi istimewa bangsa Melayu dalam politik untuk kelangsungan Ketuanan Melayu, ‘tuan-tuan Melayu’ inilah yang rancak dengan rasuah yang tidak beretika. Ketika DEB dilaung sebagai benteng ekonomi orang Melayu, berbillion kekayaan ini masuk ke poket ‘tuan-tuan Melayu’. Apabila diperjuang baja subsidi dan kontrak untuk bangsa yang menjadi tuan negara ini, kita jual kepada bukan Melayu.

Di saat kita galak mempromosi bangsa Melayu agar tidak lapuk, ketika itulah bangsa Melayu menjadi majoriti penghuni pusat serenti dan penjara. Apabila bangsa ini marah biasiswa diberi kepada kaum lain dengan banyak sekali, semakin banyak bangsa ini yang gagal di universiti kerana masalah akhlak dan sosial. Betapa perjuangan tidak selari dan seimbang dengan realiti mahupun tindakan kita. Beginikah Ketuanan Melayu yang mahu diperjuangkan?

Menuntut suatu peingiktirafan yang besar, memerlukan sumbangan yang lebih besar. Sebelum berbicara tentang hak, biarlah kita dulu menunaikan tanggungjawab kita terhadap orang sendiri mahupun orang lain. Kadang-kadang, kita lebih lajak dari laju. Kita bersikap reaktif dan defensif dalam isu ini dan berfikir kaum lain sedang mengancam kita. Tapi kita jarang sedar bahawa kebanyakan masa, kita yang menghakis hak kita sendiri lantaran kurang menunaikan tanggungjawab terhadap bangsa sendiri.

Islam Asas Kebangkitan Bangsa Melayu

Sebagai solusi, nampaknya kita perlu mengikut hukum alam dan juga sejarah. Mengikut prinsip ini, apabila kita terus menerus cuba melihat, mengikut dan meniru orang lain, kita akan sentiasa ketinggalan. Mungkin kita boleh maju dengan melihat contoh bangsa Cina ataupun telunjuk barat, tapi hakikatnya kita sentiasa akan ketinggalan kepada mereka. Cara fikir secara selari dengan mereka akan menyebabkan kita selalu kalah dalam perlumbaan ini kerana mereka telah mula lari dan pecut terlebih dahulu.

Bagaimanapun, mungkin iktibar sejarah kebangkitan tamadun Arab boleh menjadi teladan. Di saat itu, Rom dan Parsi telahpun muncul sebagai kuasa besar dunia. Rom membina bangunan tinggi dan Parsi mencipta teknologi canggih. Andai Arab cuba menjadi maju dengan bertindak selari dengan mereka dalam membina bangunan dan teknologi, maka Arab tetap akan ketinggalan.

Justeru, nilai agamalah yang menjadi asas tamadun Arab muncul menyaingi dua kuasa besar terbabit. Tanpa bangunan yang lebih tinggi dari Rom, mereka tetap menyinar kerana mereka mempunyai kebijaksanaan, mengusai bidang keilmuaan, membina jatidiri yang teguh, semangat yang berkobar dan akhlak moral yang murni. Tiada rasuah, tiada kezaliman, tiada kemiskinan, dan tiada kebinasaan melampau. Itu memberi kekuatan yang mengalahkan Rom dan Parsi yang jatuh kerana krisis moral.

Begitu halnya dengan bangsa Melayu. Memartabatkan Melayu dan elemen Melayu lain pada zaman ini bukanlah dengan menegaskan slogan Ketuanan Melayu semata-mata. Keupayaan dan kekuatan menjadi merit sebelum layak menuntut Ketuanan. Tidak boleh juga bangsa Melayu melakukan perkara yang sama dengan bangsa lain yang telah mempunyai tamadun yang lama, tapi mengharapkan natijah yang lebih baik. Selamanya, kita sentiasa dibelakang. Solusinya, perjuangan menerapkan nilai dan ajaran Islam lebih utama dari perjuangan menjaga sentimen dan elemen bangsa Melayu.

Akhirnya, biarlah kita bangga menjadi bangsa Melayu zaman ini bukanlah kita ada baju Melayu, makanan Melayu, budaya Melayu ataupun bahasa Melayu. Walaupun kesemua unsur tadi wajib dipertahankan, tapi biarlah kita bangga sebagai orang Melayu kerana orang Melayu mendahului dalam bidang politik, ekonomi, sains, sastera, agama, sosiobudaya dan akademik. Oleh kerana kita belum mencapainya, maka aspek inilah perjuangan kita, bukannya memperjuangkan tradisi mencium keris semata-mata.

Bacaan lanjut:

Apa makna ‘Ketuanan’?

Oleh ANUAR AHMAD (Utusan Malaysia)

TANGGAPAN pemikiran Timbalan Presiden MCA, Dato Seri Dr. Chua Soi Lek bahawa ketuanan Melayu tidak relevan memang ada benarnya. Malah sokongan Ketua Wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun terhadap kenyataan ketuanya itu pun ada maknanya. Percaya atau tidak, marah atau tidak, nampaknya ketuanan Melayu memang tidak relevan lagi. Tidak perlulah ditukar konsep ketuanan Melayu kepada konsep keabsahan Melayu atau kepimpinan Melayu, kekuasaan Melayu atau apa sahaja, pokoknya memang makna ketuanan Melayu sudah tidak relevan pun.

Cumanya tak relevan ketuanan Melayu pada pemikiran penulis tidaklah sama dengan pemikiran dua tokoh pimpinan MCA itu. Tidak relevannya ketuanan Melayu pada penulis ialah walaupun orang Melayu adalah ‘tuan’ di tanah airnya sendiri tetapi bak kata orang tua-tua ‘menang sorak kampung tergadai’. Makna ketuanan Melayu sudah hilang relevan bila orang Melayu sendiri termasuk para pemimpinnya mula berperangai seperti Pak Kaduk.

Orang Melayu diakui dalam sejarah negara sebagai penduduk asal tanah air ini. Pada 2010 dijangka orang Melayu akan terus merupakan majoriti di negara ini dengan kadar 67 peratus, berbanding etnik Cina 24.3 peratus dan etnik India 7.4 peratus. Manakala lain-lain etnik akan berada pada tahap 1.3 peratus. Bagaimanapun data ini belum boleh memberikan makna tentang menjadikan ketuanan Melayu sebagai sesuatu yang relevan di kalangan masyarakat Melayu negara ini.

Ideologi

Dari segi politik, pemecahan orang Melayu memang sudah jelas. Atas nama ideologi yang berbeza orang Melayu berpecah kepada tiga kumpulan utama iaitu UMNO, Pas dan PKR. Berdasarkan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri-negeri, jelas taburan kuasa politik menunjukkan bahawa negara ini adalah sebuah negara yang mengamalkan perkongsian kuasa yang kadang kala mencabar ketuanan Melayu. Jelasnya, secara politik orang Melayu bukanlah lagi tuan punya secara mutlak di tanah airnya sendiri.

Dari segi sosial, orang Melayu merupakan penyumbang terbesar kepada masalah sosial negara. Tidak benar jika dikatakan oleh kerana orang Melayu adalah penduduk paling ramai maka tentulah pelaku masalah sosial ialah kebanyakannya orang Melayu. Statistik PDRM 2006, menunjukkan orang Melayu masih merupakan kumpulan etnik yang paling ramai menagih dadah di Pulau Pinang walaupun orang Melayu bukanlah kumpulan majoriti di negeri tersebut.

Selain dadah, kes penderaan dalam keluarga, sumbang mahram, keciciran pendidikan serta pelbagai perlakuan delikuensi masih dikuasai oleh generasi muda Melayu. Jika tidak dibanteras segera maka ketuanan Melayu tentunya tidak relevan lagi, bukan sahaja menyediakan pemimpin negara malah sebagai tenaga kerja profesional negara pada masa depan.

Tetapi apa yang paling menarik untuk membicarakan makna ketuanan Melayu adalah dengan melihat daripada perspektif ekonomi. Menjadi ‘tuan’ bermakna seseorang menguasai sepenuh hartanya. Misalnya, tidak mungkin seseorang menjadi tuan rumah jika rumahnya adalah milik orang lain. Berdasarkan statistik tahun 2004 yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi menunjukkan pendapatan orang Melayu 37.5 peratus lebih rendah daripada orang Cina. Manakala pendapatan orang Melayu adalah 22.4 peratus lebih rendah berbanding orang India.

Ringkasnya, selepas 50 tahun merdeka orang Melayu masih merupakan kumpulan etnik yang berpendapatan paling rendah di kalangan etnik utama negara ini. Pelik bunyinya bila tuan di tanah air sendiri lebih miskin berbanding orang lain. Apakah maknanya ketuanan Melayu jika kuasa ekonomi orang Melayu jauh lebih rendah daripada kaum lain.

Berdasarkan data purata pendapatan bulanan mengikut kumpulan etnik utama pada tahun 2004 oleh Unit Perancang Ekonomi, purata pendapatan bulanan orang Melayu ialah RM2,711, orang Cina RM4,437 dan orang India RM3,456. Jelas sekali orang Melayu secara keseluruhannya masih merupakan kumpulan etnik yang berpendapatan paling rendah di kalangan etnik utama di negara ini. Malah lebih menarik, orang Melayu yang digambarkan sebagai tuan di negara ini merupakan satu-satu etnik yang berada di bawah paras purata pendapatan rakyat Malaysia iaitu RM3,246.

Malah bagi menunjukkan betapa tidak relevannya makna ketuanan Melayu itu, lihatlah data berkaitan pemilikan unit bangunan dan premis komersial berdasarkan kumpulan etnik Melayu dan Cina sebagai perbandingan asas.

Ketinggalan

Tentunya data-data ini menunjukkan kesimpulan bahawa orang Melayu sangat jauh ketinggalan di dalam semua bidang di negara sendiri. Bagaimana kaum lain berjaya menguasai kekayaan negara haruslah dihormati dan diakui. Mereka telah secara bersungguh-sungguh menguasai ilmu dan juga menunjukkan kekentalan mental dan disiplin kerja yang tinggi untuk mencapai kekayaan itu.

Malah terbaru, lihatlah bagaimana beberapa hari lalu Amanah Saham Wawasan (ASW) 2020 yang bernilai 490 juta unit habis dilanggan oleh bukan bumiputera dalam masa 6 jam 10 minit sahaja. Pada 18 Julai 2007 lalu, sejumlah 500 juta unit Amanah Saham Malaysia (ASM) telah dilanggan oleh bukan bumiputera dalam masa hanya 39 minit sahaja. Bayangkan nanti pada 1 Disember 2008 apabila satu bilion unit tambahan ASM akan ditawarkan oleh Permodalan Nasional Bhd. (PNB). Bagi orang Melayu, tidak perlulah menunggu sehingga minggu depan kerana unit ASM yang telah ditawarkan sejak sekian lama pun belum lagi habis dilanggan.

Nampaknya perancangan orang Melayu tidak begitu menjadi jika dibandingkan dengan jumlah tenaga manusia, kuasa politik serta segala macam kemudahan dan modal yang disediakan untuk memajukan mereka. Sebenarnya, sangat jarang berlaku di dalam mana-mana negara di dunia, sebuah negara yang dikuasai oleh etnik majoriti serta menguasai kuasa politik, kumpulan etnik tersebut berada jauh ketinggalan berbanding etnik minoriti seperti mana yang berlaku di Malaysia.

Sesuatu secara besar-besaran untuk membangunkan ‘makna ketuanan Melayu’ tanpa menyinggung kumpulan etnik lain mestilah dilakukan dengan kadar segera. DEB yang murni wadahnya dan disokong oleh segenap lapisan masyarakat pun masih tidak dapat mencapai sasaran untuk meningkatkan ekonomi Melayu pada paras 30 peratus.

Lebih menyedihkan bila data Unit Perancang Ekonomi pada tahun 2004 menunjukkan kemiskinan orang Melayu adalah 8.3 peratus jauh lebih tinggi daripada orang Cina (0.6 peratus) dan orang India (2.9 peratus). Pimpinan Melayu mesti berani untuk mengakui kelemahan DEB dan bersedia untuk belajar daripada pengalaman DEB dan perbetulkan kelemahan tersebut.

Oleh itu sesuatu yang jauh lebih besar perencanaan berbanding DEB mestilah dibangunkan oleh pimpinan Melayu di negara ini. Lebih daripada itu, orang Melayu khususnya pimpinannya harus meningkatkan integriti dan kredibiliti kemelayuannya. Pimpinan Melayu mestilah boleh menonjol dan menguasai ruang politik pelbagai etnik secara meritokrasi bukan kroni, terbukti cemerlang dan pada masa yang sama mempunyai sikap benci kepada rasuah, politik wang dan budaya mengambil kesempatan atas wang rakyat.

Mereka jua mestilah boleh membuktikan keberkesanan pengurusan yang cekap dan adil. Hasilnya mereka akan berupaya untuk mengubah secara langsung makna ketuanan Melayu untuk diterima oleh bukan sahaja orang Melayu tetapi yang lebih penting oleh kumpulan etnik yang lain. Jika pimpinan Melayu sekarang tidak bertindak meningkatkan integriti dan kredibiliti kemelayuan mereka, pastinya ketuanan Melayu akan tidak relevan lagi.

About these ads

7 Responses to "Krisis Ketuanan Melayu"

assalamualaikum wbt
salam perjuangan. tahniah dan syabas kerana mmberi ksedaran tentang kepentingan ketuanan Melayu. isu melayu di Malaysia tidak sememangnya isu terpencil dan istimewa kerana berbeza dengan bangsa2 lain di dunia, perkaitan Ilan, tulisan jawi, budaya semuanya ditamsilkan melalui bangsa Melayu. Sejarah melayu mmbuktikan penulisan dan pertuturan bahasa Melayu merupakan sebahagian besarnya mgikut acuan Islam selepas pengaruh sanskrit..

Abul Harith : Wassalam Sdr. Qittun & terima kasih atas perkongsian.

inikah sikap kite dr dulu…MALAS???

Abul Harith : Di sisi saya, bagi seorang Melayu Muslim, saya lebih suka kaitkan malas yang ada dalam diri kita dengan lunturnya iman kita sendiri. Orang yang teguh imannya, akan sentiasa berusaha yang terbaik dalam apa sahaja amalannya untuk manfaat semua insan dan mendapat redha Ilahi.

WaLLAHu a’lam.

salam akhi faidhi..

Abul Harith : Wa’alaykum Salam Ya Akhi. Syukran atas ziarah.

jangan tipu orang lagilah,lahir banyak banyak anak buat apo pandai ke……cubalah fikir …sekali lagi,tahu lahir kena tahu ajar,jgn biar lepak lepak di jalan raya macam org senang,lagi sekali pakai lah CONDOM…..

Abul Harith : Tuan Anom,

Terima kasih atas ziarah. Nasihat yang berguna, namun Condom bukan penyelesaian mutlak. Islam menyuruh kita menjauhi zina & menyekat segala pintu kearahnya, agar maruah & keturunan Ummah ini terpelihara.

Ringkasnya, selepas 50 tahun merdeka orang Melayu masih merupakan kumpulan etnik yang berpendapatan paling rendah di kalangan etnik utama negara ini. Pelik bunyinya bila tuan di tanah air sendiri lebih miskin berbanding orang lain. Apakah maknanya ketuanan Melayu jika kuasa ekonomi orang Melayu jauh lebih rendah daripada kaum lain.
tahu kenapa,sebab malas tahu,tak percaya cuba tanya sendiri…

Abul Harith : Tuan Anom,

Apa yang Tuan suarakan samalah seperti apa yang disuarakan Tun Dr. Mahathir sekitar 40 tahun dahulu melalui “The Malay Dilemma”. Namun selepas 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri, beliau masih mengatakan beliau gagal mengubah keadaan kaum Melayu ini.

Semuanya ialah soal sikap yang enggan berubah.

WaLLAHu a’lam.

terima kasih di atas ilmu yang dikongsi bersama. cukup padat dan bermakna. semoga melayu sedar akan hal ini dan bangkit memperjuangkan ketuanan semula.

Abul Harith : Sdr. Nur Syuhada,

Terima kasih atas kunjungan. Moga apa yang ditulis memberi manfaat buat Sdr.

Assalamualaikum,

Kita banyak bercakap dan berbincang. Tetapi sedikit benar yang dapat kita lakukan. Malah selalunya apa yang kita lakukan jauh menyeleweng dari apa yang cakapkan.

Tun Mahathir juga buat perkara yang sama. Selepas merdeka hingga pertengahan 70an bapa kita telah banyak berusaha untuk menaikan Melayu. Dari pertengahan 70an hingga akhir 80an abang kita telah menerapkan nilai Islam ke dalam isu Melayu. Tetapi selanjutnya selepas itu semuanya jadi kabur. Kita keliru dengan masalah Kesultanan Melayu. Kita hilang yakin dengan Bahasa Melayu.

Perlumbaan dalam “ekonomi” telah menjadikan banyak perkara jadi keliru. ASB yang mulanya diwujudkan untuk orang Melayu. Kita benarkan bank buat pinjaman. Ini bermakna semua pelabur bank, majoritinya bukan Melayu berhak menerima faedah secara langsung dan tetap dari ASB. Melayu yang pinjam dapat baki dari faedah tersebut.

Pada mulanya syarikat swasta terpaksa mengambil anak Melayu untuk bekerja dengan mereka kerana surat menyurat perlu dibuat dalam Bahasa Melayu. Tetapi kemudian bertukar kepada alasan untuk tidak mengambil Melayu kerana mereka tak pandai berbahasa Inggeris.

Keadaan bertambah buruk dengan kemasukan warga asing. Kini malah lebih sesuai dengan kebanjiran warga asing. Dahulu tauke Cina ambil orang Melayu bekerja di ladang mereka. Kini tauke tak ambil Melayu malah Melayu pun tak ambil Melayu bekerja dengan mereka. Mula-mula kita ambil buruh bawahan saja. Sekarang di merata tempat mereka telah memenuhi peringkat menengah malah kini sehingga diperingkat atas. Dulu kita ambil mereka untuk mengajar sahaja, sekarang kita ambil yang ada PhD (post-doc) untuk bantu pelajar dan pensyarah Melayu kita siapkan PhD mereka.

Satu ketika dulu kita sangat bangga dapat belajar hingga ke Menara Gading. Ada quota untuk orang Melayu dan bukan Melayu. Kemudian kita buka IPTS. Lagi ramai bukan Melayu dapat masuk. Malah yang tak berapa pandai pun dapat masuk, sebab mereka lebih mampu dari Melayu yang mungkin lebih pandai. Belajar di IPTA lebih lama dari IPTS. Mereka kurang pandai tapi habis belajar lebih dulu dan cop kerja lebih dulu.

Kita wujudkan pinjaman pengajian untuk orang Melayu supaya mampu belajar di IPTS. IPTS bangun bagai cendawan busut tumbuh lepas hujan. Mereka langsung tak lepaskan peluang hingga kering tabung. Hingga tak cukup pelajar dalam negara ini untuk masuk belajar. Tak sampai 10 tahun kita telah hasilkan lambakan lulusan Melayu yang tak bekerja. Sesuai pula dengan polisi meningkatkan umur persaraan dari 55 ke 60 tahun.

Semua ini usaha yang dibuat untuk menaikan Melayu di Malaysia. Tapi akhirnya Melayu juga terperangkap. Apakah langkah kita selanjutnya?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Kelana Abul Harith

Days in Life

December 2009
M T W T F S S
« May   Aug »
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  

Recent Comments

Ismail Bin Ahmed on Krisis Ketuanan Melayu
Anonymous on Kasih Ibu, Sayang Ayah
adawiah on Pantun Ramadhan
Haryani Adrus on Kasih Ibu, Sayang Ayah
vish on 1 Harmoni Malaysia
ja filza on Cerita Citra Ceritera
norfizah binti othma… on Kasih Ibu, Sayang Ayah
nur syuhada on Krisis Ketuanan Melayu

Angle of Life

DSC_0890

DSC_0848

DSC_0859

More Photos

Archives

Blog Stats

  • 9,248 hits

Visitors

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: